Minggu, 27 Juli 2014

Sesatnya Kaum Syiah

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri
Pada bulan Zulhijjah tahun 35 Hijrah, di hari-hari Umat Islam sedang mengerjakan ibadat Haji, Umat Islam dikejutkan dengan peristiwa yang amat dahsyat dan menggerunkan mereka, peristiwa yang akan menjadi sebab berubahnya perjalanan tarikh Umat Islam, peristiwa yang akan terus menjadi noda hitam yang besar di tengah-tengah lembaran putih sejarah Umat Islam; Pembunuh Amirul Mukminin Khalifah al-Rasyid ke-3, Saidina Usman bin ‘Affan Rodhialloohu ‘Anhu.
Walaupun Usman Rodhialloohu ‘Anhu bukanlah Khalifah Islam pertama yang mati terbunuh kerana Khalifah sebelum beliau, Umar bin al-Khattab Rodhialloohu ‘Anhu juga syahid terbunuh, namun bedanya pembunuhan al-Faruq adalah di tangan seorang kafir majusi Abu Lu’Lu’ah Fairuz sedangkan pembunuhan Usman Rodhialloohu ‘Anhu adalah di tangan mereka yang bernama: Muslimin.
Buat pertama kalinya Umat Islam menyaksikan acara Demonstrasi Aman yang dianjurkan oleh lelaki Munafiq Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ namun, demonstrasi yang dikatakan oleh ketua-ketuanya sebagai Aman dan tidak berniat jahat selain hendak mendapatkan penjelasan daripada Khalifah akan beberapa keliruan dan salah faham berakhir dengan tumpahnya darah kekasih ALLOH dan Rasul-Nya, Saidina Usman bin ‘Affan Rodhialloohu ‘Anhu.
Peristiwa yang dahsyat ini menyebabkan jawatan terpenting Umat Islam, Khalifah menjadi kosong dari penyandang dan ini mendedahkan Umat Islam kepada bahaya kerana Khalifah adalah puncak dan pasak kepada Jamaah Kaum Muslimin, maka segeralah para Sahabat ridwanullohi ‘alaihim mencari akan calon yang paling layak menggantikan tempat Usman Rodhialloohu ‘Anhu sebagaimana juga mereka bersegera bermesyuarat mencari Khalifah Rosuulillaah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam selepas kewafatan baginda.
Calon yang paling layak setelah Usman Rodhialloohu ‘Anhu tanpa sebarang syak lagi adalah salah seorang Ahli Majlis Syura dan merupakan salah seorang calon Khalifah selepas kewafatan Umar Rodhialloohu ‘Anhu sebelum terpilihnya Usman Rodhialloohu ‘Anhu, menantu dan sepupu Rasulullah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam, Saidina Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu.
Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah Dalam Masalah Khilafah:
Ahlus Sunnah wal Jamaah –ridwanulloohi ‘alaihim- telah bersepakat bahawa Khalifah yang keempat dalam senarai Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang diperintahkan oleh Rasulullah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam utk kita berpegang dengan Sunnah mereka setelah Sunnah baginda adalah Saidina Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu.
Kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal rohimahumllooh:
“Aku bertanya kepada ayahku (Imam Ahmad) berkenaan susunan keutamaan antara Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali? Maka jawab ayahku: Abu Bakar, Umar, Usman, adapun Ali maka beliau adalah Khalifah yang keempat” [Al-Sunnah, Abdullah bin Ahmad, juz 2, m.s 218]
Kata Imam al-Tahawi r.h dalam Matan Akidah beliau:
Maksudnya: “dan kami (Ahlus Sunnah wal Jamaah) menetapkan Khilafah selepas Rasulullah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam yang pertamanya kepada Abu Bakar al-Siddiq Rodhialloohu ‘Anhu sebagai satu keutaman dan pendahuluan atas sekalian umat kemudian kepada Umar bin Al-Khattab Rodhialloohu ‘Anhu kemudian kepada Usman Rodhialloohu ‘Anhu kemudian kepada Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu dan mereka inilah para Khalifah al-Rasyidin dan Imam-imam Al-Mahdiyun (yang mendapat petunjuk)”.
Dalil Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam masalah ini adalah hadis berikut:
Dari pada Safinah Maula Rosulillah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam - RA - kata beliau:
Aku mendengar Nabi Shollalloohu ‘alaihi Wasallam bersabda:
الخِلافَةُ ثَلاثونَ عَامًا، ثمّ يكونُ بَعْدَ ذلِكَ الملكُ
Maksudnya: “Khilafah (selepasku) adalah selama 30 tahun kemudian akan bertukar kepada (sistem) beraja” [HR Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasai]
Kemudian berkata Safinah RA: “Peganglah (hitunglah); Khilafah Abu Bakar dua tahun, Umar 10 tahun, Usman 12 tahun, dan Ali 6 tahun”.
Kata Imam Al-Ajurry Rohimahullooh: “Ketahuilah –semoga ALLAH merahmati kami dan kamu- bahawa tiada lagi seseorang selepas (kewafatan) Usman Rodhialloohu ‘Anhu seorang pun yang lebih berhak menyandang jawatan Khalifah selain Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu. [Al-Syari'ah, m.s 512].
Khilafah Ali Rodhialloohu ‘Anhu: Kedudukan Ali Rodhialloohu ‘Anhu sebagai Khalifah kaum Muslimin tsabit dan berlaku melalui pembai’atan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in setelah syahidnya Saidina Amirul Mukminin Usman bin ‘Affan Rodhialloohu ‘Anhu sebagaimana dalam hadis berikut:
Maksudnya: “Daripada Muhammad bin al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu) berkata: Aku berada bersama ‘Ali pada waktu Usman dikepung lalu datang kepada beliau (Ali) seorang lelaki berkata: “Sesungguhnya Amirul Mukminin (Usman Rodhialloohu ‘Anhu) akan dibunuh”. Kemudian datang pula seorang lagi memberitahu: “Sesungguhnya Amirul Mukminin akan dibunuh sekarang”. Lalu Ali Rodhialloohu ‘Anhu bangun (untuk pergi mempertahankan Usman Rodhialloohu ‘Anhu) kata Muhammad bin al-Hanafiah: Maka aku menghalangnya kerana takut akan keselamatan dirinya. Lalu kata beliau (‘Ali): “Lepaskan, tiada ibu bagimu!”. Kata Muhammad: Lalu beliau mendatangi rumah Usman r.a dan mendapati beliau sudah pun dibunuh lalu beliau kembali ke rumahnya dan menutup pintu lalu manusia datang kepadanya mengetuk pintu dan masuk menemuinya lalu berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (yakni Usman bin ‘Affan Rodhialloohu ‘Anhu) sudah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Khalifah sedangkan kami tidak tahu ada seorang pun yang lebih berhak akannya selain daripada kamu”. Lalu Ali Rodhialloohu ‘Anhu berkata kepada mereka: “Janganlah kamu mengkehendaki aku, sesungguhnya aku lebih baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) lebih baik daripada aku menjadi Ketua”. Lalu kata mereka: “Tidak  Demi ALLOH, kami tidak ketahui seorang pun yang lebih berhak akannya dari pada kamu”. Kata Ali Rodhialloohu ‘Anhu: “Jika kamu tetap enggan melainkan aku maka hendaklah pembai’atan aku tidak dilakukan secara rahasia tetapi aku akan keluar ke Masjid (Masjid Nabawi) maka barangsiapa yang hendak membai’at aku dia bai’atlah”. Kata Muhammad: “Maka beliau keluar ke Masjid dan manusia pun membai’at beliau”.
Yang dimaksudkan dengan “manusia” yang datang ke rumah Ali Rodhialloohu ‘Anhu hendak membai’at beliau adalah para Sahabat Rasulullah Shollalloohu ‘alaihi Wasallam sebagaimana dalam lafaz yag lain:
Maksudnya: ” maka datang kepada beliau para Sahabat Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam lalu mereka berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (Amirul Mukminin Usman Rodhialloohu ‘Anhu) telah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Imam (pemimpin) sedangkan kami tidak menemui seorang pun yang lebih berhak memegang urusan ini (khilafah) daripada kamu, orang yang terawal menyaksikan dan paling dekat dengan Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam …”
Hadis ini atau riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad Rohimahullooh dalam kitab beliau: Fadail al-Sahabah no. 969 dan al-Khallal dalam al-Sunnah, no. 620, 622, dan 623, Al-Ajurry dalam al-Syari’ah, no; 1215 dan ianya riwayat bermartabat Hasan atau Sahih.
Dalam riwayat di sisi Al-Tabari terdapat tambahan kata-kata Ibn ‘Abbas Rodhialloohu ‘Anhuma:
Maksudnya: “Adalah aku tidak suka untuk beliau datang ke masjid kerana aku takut akan berlaku huru-hara, tetapi beliau tetap hendak ke Masjid, maka apabila beliau telah masuk, Muhajirun dan Ansar juga masuk lalu mereka (al-Muhajirun dan al-Ansar) membaiat beliau kemudian diikuti orang ramai”. [Tarikh al-Tabari, 4/427].
Riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu dibai’at dengan persetujuan Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi daripada kalangan Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.
Dalam riwayat lain pula:
Maksudnya: “Dari pada Abu Basyir al-’Abidi kata beliau: “Aku berada di Madinah ketika terbunuhnya Usman r.a maka berhimpunlah al-Muhajirun dan al-Ansar termasuk dalam kalangan mereka Talhah dan Al-Zubair lalu mereka datang kepada Ali Rodhialloohu ‘Anhu lalu mereka berkata: “Ke marilah kami bai’at kamu (sebagai Khalifah)”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang kamu pilih maka aku meredainya maka pilihlah (selain aku) demi ALLOH”. Lalu mereka (para Sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu Basyir: “Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”. Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakana kami akan terima inshaa ALLOH”.
Maksudnya: Maka beliau (Ali Rodhialloohu ‘Anhu) menaiki minbar lalu manusia berkumpul kepada beliau lalu beliau berkata: “Sesungguhnya aku membenci urusan kamu (untuk menjadi pemimpin kamu), namun kamu tetap enggan melainkan untuk aku memimpin kamu, sesungguhnya tiada bagi aku urusan tanpa persetujuan daripada kamu melainkan kuncui-kunci harta kamu berada denganku, sesungguhnya aku tidak akan mengambilnya walaupun se-dirham tanpa pengetahuan kamu, adakah kamu reda akan ini?”
Jawab mereka: “Ya”. Kata Ali: “Ya ALLOH Engkau saksikanlah atas mereka”. kemudian beliau menerima bai’at mereka atas dasar itu. Kata Abu Basyir: “Sedangkan aku ketika itu berada di sisi Minbar Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam berdiri mendengar apa yang beliau katakana”. [Tarikh al-Tabari, 4/427-428].
Riwayat ini menjelaskan lagi dan merincikan lagi peristiwa pembai’atan Ali Rodhialloohu ‘Anhu dan isi kandungannya tidak lah lari daripada cerita asas yang terkandung dalam riwayat Sahih daripada Imam Ahmad Rohimahullooh, maka riwayat seperti ini dalam penilaian ilmu sejarah adalah diterima dan matannya sahih, tiada padanya cerita-cerita yang mencemarkan nama baik Sahabat atau menggambarkan mereka dengan tingkah laku yang tidak layak dengan kedudukan mereka dan tsabitlah melalui riwayat-riwayat ini semuanya bahawa pembai’atan ‘Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah dengan keredaan dan kesepakatan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in termasuk Talhah bin Ubaidullah Rodhialloohu ‘Anhu dan Al-Zubair bin al-’Awwam Rodhialloohu ‘Anhu.
Maksudnya: “Daripada ‘Auf (‘Auf al-A’rabi) kata beliau: “Aku berada di sisi al-Hasan (al-Basri) Rohimahullooh dan ada di sana seorang lelaki yang mencela Abu Musa (al-Asy’ari) Rodhialloohu ‘Anhu kerana mengikut Ali Rodhialloohu ‘Anhu lalu al-Hasan menjadi marah kemudian berkata: “Maha Suci ALLOH! Amirul Mukminin Usman dibunuh kemudian manusia (yakni para Sahabat Rodhialloohu ‘Anhum) berhimpun kepada yang terbaik dalam kalangan mereka lalu mereka membai’atnya, apakah patut dicela Abu Musa dan para pengikutnya!!”. [HR al-Khallal dalam al-Sunnah]
Dalam riwayat yang lain daripada ‘Auf kata beliau:
كُنْتُ عِنْدَ الْحَسَنِ، فَذَكَرُوا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Adalah aku berada di sisi al-Hasan lalu mereka menyebut tentang para Sahabat Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam …” [Dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad dari pada Ayahnya dalam Fadail al-Sahabah].
Hasan al-Basri Rohimahullooh adalah saksi peristiwa pembunuhan Usman Rodhialloohu ‘Anhu dan beliau berada di Madinah semasa kejadian dan semasa pembai’atan Ali Rodhialloohu ‘Anhu dan beliau adalah antara murid Ali Rodhialloohu ‘Anhu. Maka dengan pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa semua Sahabat yang berada di Madinah membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu dengan keredaan dan pilihan mereka.
Bai’at Paksa?
Dakwaan bahawa pembai’atan Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu dilakukan dengan pemaksaan daripada para pemberontak dan pembunuh Usman bin ‘Affan Rodhialloohu ‘Anhu adalah tidak benar bahkan terdapat riwayat-riwayat yang sahih menunjukkan bahawa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak tunduk kepada desakan pemberontak; daripada Sallam bin Miskin Rohimahullooh kata beliau:
Maksudnya: “Aku mendengar al-Hasan (al-Basri) Rohimahullloh berkata: “Apabila berlaku kepada Usman apa yang berlaku dan manusia menjadi celaru mereka mendatangi Abdullah bin Umar lalu mereka berkata: “Engkau adalah penghulu kami anak kepada penghulu kami, keluarlah supaya manusia boleh membai’at kamu dan mereka semua pasti akan reda dengan kamu (sebagai Khalifah)”. Maka jawab beliau: “Tidak, demi ALLOH, tidak akan tumpah darah walaupun sebesar jarum bekam disebabkan aku selama mana aku masih bernyawa”. Kemudian mereka kembali kepadanya dan menggertaknya lalu berkata: “Hendaklah kamu keluar atau kamu akan dibunuh di atas hamparanmu”. Lalu beliau berkata seperti sebelumnya maka dia diberi tawaran dan diugut. Kata Al-Hasan al-Basri: “Maka demi ALLOH tidak mereka dapat berbuat apa dengan beliau sehinggalah beliau kembali bertemu dengan ALLOH”. [Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Fadail al-Sahabah dan al-Khallal dalam al-Sunnah dan sanadnya Sahih].
عَنْ قَيْسِ بْنِ عَبَّادٍ، قَالَ: سَمِعْتُ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمَ الْجَمَلِ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِنْ دَمِ عُثْمَانَ، وَلَقَدْ طَاشَ عَقْلِي يَوْمَ قُتِلَ عُثْمَانُ، وَأَنْكَرَتْ نَفْسِي وجَاءُونِي لِلْبَيْعَةِ، فَقُلْتُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ قَوْمًا قَتَلُوا رَجُلًا قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَلَا أَسْتَحْيِي مِمَّنْ تَسْتَحْيِي مِنْهُ الْمَلَائِكَةُ» ، وَإِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ وَعُثْمَانُ قَتِيلٌ عَلَى الْأَرْضِ لَمْ يُدْفَنْ بَعْدُ، فَانْصَرَفُوا، فَلَمَّا دُفِنَ رَجَعَ النَّاسُ فَسَأَلُونِي الْبَيْعَةَ، فَقُلْتُ: اللَّهُمَّ إِنِّي مُشْفِقٌ مِمَّا أَقْدَمُ عَلَيْهِ، ثُمَّ جَاءَتْ عَزِيمَةٌ فَبَايَعْتُ فَلَقَدْ قَالُوا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، فَكَأَنَّمَا صُدِعَ قَلْبِي، وَقُلْتُ: اللَّهُمَّ خُذْ مِنِّي لِعُثْمَانَ حَتَّى تَرْضَى
Maksudnya: “Daripada Qais bin ‘Ubadah kata beliau: Aku mendengar Ali Rodhialloohu ‘Anhu berkata pada hari Peristiwa Jamal: “YA ALLOH sesungguhnya aku berlepas diri kepada-Mu daripada terlibat dalam pembunuhan Usman; sesungguhnya akal ku hilang pada hari Usman dibunuh dan aku (seolah-olah) tidak mengenali diriku lagi, lalu mereka datang kepada ku untuk berbai’ah lalu aku berkata: Demi ALLOH sesungguhnya aku malu untuk berbai’at dengan kaum yang telah membunuh seorang lelaki yang mana Rasulullah s.a.w telah bersabda berkenaanya:
“Adalah wajar aku berasa malu dengan orang yang Malaikat berasa malu dengannya”. Sesungguhnya aku malu untuk dibai’ah sedangkan Usman terbunuh belum dikebumikan lagi”. Maka mereka pun berlalu pergi. Apabila telah dikebumikan Usman mereka datang kembali dan meminta untuk aku dibai’ah, maka aku berkata: “Ya ALLOH, sesungguhnya aku berasa amat berat untuk melakukan perkara ini”. Kemudian datang rasa kekuatan (pada diriku) maka aku pun berbai’ah. Maka apabila mereka berkata kepadaku: “Wahai Amirul Mukminin!”
Maka jantungku seolah-olah disentap dan aku berkata: “Ya ALLOH, Engkau tuntutlah pembalasa bagi pihak ku untuk Usman sehingga Engkau reda”. [Al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 4527, Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, kata Imam al-Zahabi Rohimahullooh: Hadis ini di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim]
عن ابن المسيب، قال: لما قتل عثمان جاء الناس كلهم إلى علي يهرعون أصحاب محمد وغيرهم، كلهم يقول: أمير المؤمنين علي، حتى دخلوا عليه داره، فقالوا: نبايعك فمد يدك، فأنت أحق بها، فقال علي: ليس ذاك إليكم، وإنما ذاك إلى أهل بدر، فمن رضي به أهل بدر فهو خليفة، فلم يبق أحد إلا أتى عليا، فقالوا: ما نرى أحدا أحق بها منك، فمد يدك نبايعك، فقال: أين طلحة والزبير؟ فكان أول من بايعه طلحة بلسانه، وسعد بيده، فلما رأى علي ذلك خرج إلى المسجد، فصعد المنبر، فكان أول من صعد إليه، فبايعه طلحة، وبايعه الزبير، وأصحاب النبي صلى الله عليه وسلم ورضي عنهم أجمعين
Maksudnya: “Daripada Ibn al-Musayyib (Sa’id bin al-Musayyib) Rohimahullooh kata beliau: “Apabila dibunuhnya Usman Rodhialloohu ‘Anhu maka bergegaslah manusia mendatangi Ali Rodhialloohu ‘Anhu, terdiri daripada para Sahabat Muhammad Shollalloohu ‘alaihi Wasallam dan selain mereka, kesemua mereka berkata: “Amirul Mukminin Ali”. Sehinggalah mereka masuk ke rumah beliau mereka berkata: “Hulurkan tangan kamu untuk kami bai’at, engkau adalah orang yang paling berhak akannya”. Lalu berkata Ali: “Sesungguhnya urusan ini bukan milik kamu tetapi ia urusan Ahli Badar, barangsiapa yang diredai oleh Ahli Badar maka dialah yang berhak menjadi Khalifah”. Maka tidak tinggal seorang pun (daripada Ahli Badar) melainkan mereka datang kepada Ali r.a seraya berkata: “Kami tidak tahu ada sesiapa lagi yang lebih layak selain daripada kamu maka hulurkan tangan kamu untuk kami bai’ah”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Di manakah Talhah dan al-Zubair?” maka orang pertama yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan beliau diikuti Sa’ad (ibn Abi Waqqas Rodhialloohu ‘Anhu) dengan tangannya. Apabila Ali Rodhialloohu ‘Anhu melihat yang demikian (terdapatnya kesepakatan Ahli Badar) beliau keluar menuju ke Masjid lalu menaiki Minbar maka orang pertama yang menaiki minbar dan membai’at beliau adalah Talhah dan turut membai’at beliau Al-Zubair dan seluruh Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wa rodiya ‘anhum ajma’iin”. [Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn al-Atsir dalam Usudul Ghabah dengan Sanad yang tidak kurang dari Hasan, no. 1146].
Riwayat-riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa para Sahabat; al-Muhajirun dan al-Ansar ridwanullahi ‘alaihim tidaklah tunduk dengan desakan-desakan daripada pemberontak untuk memilih calon Khalifah, bahkan mereka tidak gentar dengan ugutan bunuh daripada pemberontak.
Saidina Ali Rodhialloohu ‘Anhu sendiri tidak menerima pembai’atan daripada pemberontak bahkan beliau menerimanya setelah disetujui oleh para Sahabat ridwanulloohi ‘alaihim yang berada di Madinah.
Demikian juga pembai’atan Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah setelah dipersetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim terutama Ahli Badar dan Ali Rodhialloohu ‘Anhu tidak tunduk pada asakan pemberontak dan beliau bertegas hak memilih pemimpin bukanlah milik semua tetapi ia milik Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi yang pada masa itu adalah al-Muhajirun wal Ansar yang diketuai oleh Ahli Badar.
Riwayat-riwayat sejarah yang menunjukkan bahawa ada Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in yang tidak berbai’at dengan Amirul Mukminin Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah lemah daripada riwayat Saif bin ‘Umar al-Tamimi dan beliau ini seorang yang dha’if dalam Hadis, Sandaran dalam Sejarah sebagaimana dinyatakan Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Taqrib al-Tahzib.
Maka riwayat-riwayat Saif boleh diterima dalam sejarah jika ada sokongan dan sandaran, adapun dalam keadaan riwayat-riwayat beliau berlawanan dengan riwayat Ahlul Hadis yang tsiqah dan sahih maka riwayat Ahlul Hadis hendaklah didahulukan daripada riwayat Akhbari (Ahli Riwayat Sejarah) sebagaimana yang diketahui dalam kaedah mentarjihkan riwayat-riwayat sejarah.
Ada juga riwayat-riwayat daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya yang menyatakan ada Sahabat-sahabat Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam yang tidak berbai’at kepada Ali Rodhialloohu ‘Anhu namun sebagaimana diketahui Lut bin Yahya adalah seorang Syi’ah Rafidah yang fanatic dengan mazhabnya, tidak diterima sama sekali riwayat-riwayat daripadanya yang mempunyai unsur-unsur celaan kepada para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.
Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma:
Demikian juga riwayat yang menunjukkan bahawa Talhah bin Ubaidillah Rodhialloohu ‘Anhu dan Al-Zubair bin al-’Awwam Rodhialloohu ‘Anhu dipaksa oleh pemberontak untuk berbai’at kepada Ali Rodhialloohu ‘Anhu dan mereka tidak lah reda menerima perlantikan Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah jelas berlawanan dengan riwayat-riwayat Sahih yang menunjukkan mereka berdua membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu dengan kerelaan dan sedar akan kelayakan Ali r.a sebagai Khalifah.
Maksudnya: Daripada ‘Auf (al-A’rabi) Rohimahullooh kata beliau: “Adapun aku maka aku bersaksi bahawa aku mendengar Muhammad bin Sirin berkata: “Sesungguhnya Ali telah datang dan berkata kepada Talhah: “Hulurkan tanganmu wahai Talhah untuk aku membai’atmu”. Maka berkata Talhah: “Engkau lebih berhak, engkaulah Amirul Mukminin, maka hlurkan tanganmu”. Kata beliau (Ibn Sirin): “Maka Ali menghulurkan tangan beliau maka beliau (Talhah) membaiatnya”. [Ibn Jarir al-Tabari dalam al-Tarikh dan Al-Balazuri dalam Ansab al-Asyraf dengan sanad yang sahih].
Walaupun riwayat ini mursal daripada Imam Muhammad bin Sirin Rohimahullooh, namun sudah tentu ianya sahih selari dengan peristiwa pembai’atan yang diriwayatkan dalam riwayat-riwayat yang sahih dan ia menjelaskan dan memperincikan lagi perjalanan peristiwa bai’at di mana Ali Rodhialloohu ‘Anhu cuba mengelak menjadi Khalifah maka apabila datang Ahli Badar beliau memanggil Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma kemudian Ali Rodhialloohu ‘Anhu mencadangkan Talhah sebagai Khalifah namun Talhah menolak dan menegaskan Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah yang paling berhak lalu Talhah membaiat beliau dan ini menjelaskan dan menyokong Talhah adalah orang pertama yang membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu sebagaimana dalam riwayat Ibn al-Atsir yang telah lalu.
Demikian juga telah tsabit dengan riwayat yang sahih Al-Zubair bin al-’Awwam Rodhiallohu 'anhu membai’at Amirul Mukminin Ali Rodhialloohu ‘Anhu:
Maksudnya: “Daripada Al-Hasan (Al-Basri) Rohimahullooh kata beliau: “Aku melihat Al-Zubair membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu di sebuah kebun daripada kebun-kebun Madinah” [Al-Balazuri, Ansab al-Asyraf, no. 274, sanadnya Sahih].
Riwayat-riwayat sejarah yang menyatakan bahawa Al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhu dan Talhah Rodhialloohu ‘Anhu membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu dengan dipaksa dalam keadaan pedang terhunus adalah tidak benar namun telah tsabit riwayat juga menunjukkan bahawa mereka berbai’at dalam keadaan terpaksa dan terdapat ugutan antaranya:
Daripada Abu Nadhrah Rohimahullooh:
Maksudnya: “Bahawa Rabi’ah (bin Abdullah bin al-Hadir al-Taimi –beliau adalah Tabiin Besar dilahirkan di zaman Nabi Shollallohu 'Alaihi Wasallam-) bercakap dengan Talhah di Masjid Bani Maslamah lalu mereka berkata: “Adalah kita ini sudah memegang leher para musuh sehinggalah datang berita bai’at kamu terhadap lelaki ini (Ali Rodhialloohu ‘Anhu) kemudian kamu sekarang memeranginya (melawan arahan beliau)” atau seumpama yang mereka ucapkan. Maka berkata Talhah: “Sesungguhnya aku dimasukkan di sebuah kebun kemudian diletakkan pedang di leherku dan dikatakan kepadaku: “Bai’atlah jika tidak kami akan membunuh kamu”. Kata beliau: “Maka aku berbai’at sedangkan aku tahu ianya bai’at yang tidak benar” [Al-Musannaf, Ibn Abi Syaibah, 37775].
Maksudnya: “Daripada Sa’ad bin Ibrahim kata beliau: Aku mendengar daripada ayahku (Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf) berkata: “Telah sampai kepada Ali bin Abu Talib bahawa Talhah berkata: “Sesungguhnya aku berbai’at dalam keadaan pedang berada di tengkuk ku”. Maka Ali mengutuskan Ibn ‘Abbas Rodhialloohu ‘Anhu bertanya mereka, maka berkata Usamah bin Zaid: “Adapun berkenaan pedang berada di kepalanya maka aku tidak tahu namun beliau telah berbai’at dalam keadaan beliau tidak suka” [Al-Musannaf, 37773]
Riwayat-riwayat ini adalah Sahih dan riwayat yang pertama disahihkan oleh Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fathul Bari [13/54] dan riwayat kedua juga sanadnya sahih.
Namun, ada pertentangan dengan riwayat Sahih yang lain yang menyatakan mereka mencadangkan supaya Ali Rodhialloohu ‘Anhu dibai’at sebagai Khalifah sebaik sahaja mereka melihat tiada harapan lagi untuk menyelamatkan Usman Rodhialloohu ‘Anhu.
Al-Ahnaf bin Qais Rodhialloohu ‘Anhu menceritakana bahawa beliau bertanya kepada Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma siapakah yang patut dibai’at jika Usman Rodhialloohu ‘Anhu terbunuh? Maka mereka kedua-duanya menjawab: Ali Rodhialloohu ‘Anhu.
Maksudnya: “Berkata al-Ahnaf: Maka aku bertemu dengan Talhah dan al-Zubair maka aku berkata: Sesungguhnya aku tidak ketahui melainkan lelaki ini –yakni Usman Rodhialloohu ‘Anhu - melainkan akan dibunuh (oleh pemberontak) maka siapakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya (untuk dibai’at)?” Jawab kedua mereka: “Ali”. [Fathul Bari, 13/34 dan kata Ibn Hajar Rodhialloohu ‘Anhuma: "maka Al-Tabari mengeluarkan dengan sanad yg SAHIH…"]
Dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan lafaz:
Maksudnya: “Berkata Al-Ahnaf: “Maka aku pergi kepada Talhah dan al-Zubair lalu aku berkata: “Apakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya dan kamu redai untuk aku (lakukan)? Sesungguhnya aku tidak melihat melainkan dia (Usman Rodhialloohu ‘Anhu) akan dibunuh”. Kata mereka berdua: “kami memerintahkan kamu dengan Ali (yakni sebagai Khalifah mengganti Usman Rodhialloohu ‘Anhu)”. Aku (al-Ahnaf) berkata: “Kamu berdua menyuruh aku dengan beliau dan kamu reda beliau untuk ku?” Jawab kedua mereka: “Ya”. [Musannaf, no. 37798].
Demikian juga daripada Zaid bin Wahb menceritakan bahawa Ali Rodhialloohu ‘Anhu berkata kepada Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma pada hari Jamal:
Maksudnya: “dan berkata Ali kepada Talhah dan al-Zubair: Bukankah kamu berdua membai’at aku? Maka jawab mereka berdua: “Kami menuntut pembalasan bagi pihak Usman”. Jawab Ali: “Tidak ada di sisi aku apa yang hendak kamu tuntut berkenaan darah Usman”. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 37833].
Perbualan ini menjelaskan bahawa tindakan Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma keluar dalam peristiwa Jamal adalah untuk menuntut penegakan Qisas bagi pembunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu bukan untuk merebut Khilafah dan mencabar Khilafah Ali Rodhialloohu ‘Anhu bahkan mereka tidak ingkar pern Rodhialloohu ‘Anhu yataan Ali Rodhialloohu ‘Anhu bahawa mereka telah membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu.
Melihat kepada riwayat-riwayat yang bercanggah ini kita dapat simpulkan bahawa Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma sebenarnya membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu dalam keadaan “paksa rela”; yakni: mereka tidak ingkar Ali Rodhialloohu ‘Anhu sebagai orang yang berhak menjadi Khalifah selepas Usman Rodhialloohu ‘Anhu dan mereka tidak syak sama sekali Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah orang yang patut dibai’at, maka mereka tidak sama sekali dipaksa mana-mana pihak untuk memilih Ali Rodhialloohu ‘Anhu sebagai Khalifah bahkan memang mereka bersama-sama dengan Ahli Badar yang lain bersetuju Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah Khalifah yang berhak dilantik.
Namun, mereka berdua mempunyai pandangan yang sama dengan Saidina Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu bahawa urusan bai’ah Khalifah yang baharu mestilah dilaksanakan setelah para pemberontak ditawan dan Madinah  dibebaskan dari cengkaman mereka serta pembunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu ditangkap.
Berdasarkan riwayat-riwayat Sahih yang lalu kita dapat melihat dengan jelas bahawa para pemberontak memaksa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim untuk memilih Khalifah dengan segera dan mengugut Ibn Umar Rodhialloohu ‘Anhuma dengan ugutan bunuh jika beliau enggan menjadi Khalifah maka tidak jauh jika kita katakana Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma juga diugut sedemikian rupa oleh para pemberontak.
Untuk mengelak mafsadah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai Khalifah dan menyebabkan urusan Khilafah terkeluar dari tangan Sahabat ridwaanulloohi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka mereka bergegas membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu walaupun menurut pandangan Talhah dan al-Zubair rodhiallohu 'anhuma sepatutnya pembersihan Madinah dari pemberontak dan pembalasan terhadap pembunuh Usman Rodhialloohu ‘anhu mestilah didahulukan daripada membai’at Khalifah yang baharu.
Maka inilah yang Talhah Rodhialloohu ‘Anhu maksudkan sebagai mereka membai’at dalam keadaan pedang dihunus di leher mereka dan tengkuk mereka, dalam keadaan mereka masih dalam cengkaman pemberontak menyebabkan mereka terpaksa berundur dari pandangan asal mereka iaitu: Qisas sebelum Bai’at.
Menerusi penghimpunan dua riwayat ini, terjawablah kemusykilan perlawanan antara riwayat-riwayat berkenaan sikap Talhah bin Ubaidillah al-Taimi Rodhialloohu ‘Anhu dan al-Zubair bin al-’Awwam Rodhialloohu ‘Anhu dalam menghadapi perlantikan Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu sebagai Khalifah.
Sikap Mu’awiyah bin Abi Sufian Rodhialloohu ‘Anhuma:
Adapun sikap Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu, juga sama dengan pendirian Talhah dan al-Zubair Rodhialloohu ‘Anhuma yaitu: Qisas sebelum Bai’at kerana menurut pandangan Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu, selagi mana di dalam kalangan pengikut Ali Rodhialloohu ‘Anhu terdapat mereka yang tertuduh membunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu maka tindakan membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu dan tunduk kepada kekhilafahan beliau bermaksud tunduk dan menyerah kepada pembunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu.
Hal ini jelas sebagaimana dalam riwayat yang Sahih menyatakan:
Maksudnya: “Daripada Abu Muslim al-Khaulani Rohimahullooh bahawa beliau berkata kepada Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu: “Adakah anda mencabar Ali dalam masalah Khilafah atau anda ini seumpama dengan beliau?” Kata beliau (Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu): “Tidak, sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Ali Rodhialloohu ‘Anhu) lebih afdal daripada aku dan lebih berhak dengan perkara ini (Khilafah) tetapi apakah kamu tidak tahu bahawa Usman telah dibunuh secara zalim sedangkan aku adalah sepupu beliau dan wali yang berhak menuntut balas atas darahnya (qisas) maka pergi kepada Ali dan katakana kepadanya: 
“hendaklah dia memberi kepada kami para pembunuh Usman”. Maka mereka datang kepada beliau (Ali) dan bercakap kepadanya lalu kata beliau: “Hendaklah dia (Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu) memberi bai’at dan menyerahkan penghakiman mereka (pembunuh Usman) kepada aku”. Maka Mu’awiyah enggan.” [Fathul Bari, 13/86 dan kata Ibn Hajar al-'Asqalani Rohimahullooh: Sanadnya Jayyid].
Dalam riwayat Ibnu ‘Asakir dinyatakan Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu berkata:
Maksudnya: “Pergilah kepada beliau (Ali Rodhialloohu ‘Anhu) dan katakana kepadanya: “Serahkan kepada aku pembunuh Usman maka aku akan menyerah (membai’at) kepadanya”. [Tarikh Dimasyq; Terjemah Mu'awiyah bin Abu Sufyian Rodhialloohu ‘Anhuma].
Riwayat ini menunjukkan bahawa Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu tidak sama sekali menafikan bahawa Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah orang yang berhak menjadi Khalifah bahkan Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu sedia berbai’at kepada Ali Rodhialloohu ‘Anhu bila-bila masa asalkan  setelah qisas dijalankan terlebih dahulu yakni setelah para pembunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu dikenal pasti dan ditangkap.
Kesimpulan:
Hasil meneliti riwayat-riwayat pembai’atan Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu ini kita dapat menyimpulkan beberapa perkara penting berkaitan masalah ini dan menyingkap beberapa syubhat kaum sesat seperti Syi’ah Rafidhah:
Pertama: Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu Tidak memiliki Wasiat daripada Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam untuk menjadi Khalifah selepas kewafatan baginda Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam seperti yang didakwa Rafidah.
Hal ini terpapar jelas melalui sikap Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu yang berkali-kali menolak permintaan supaya menjadi Khalifah bahkan beliau berkata: Aku menjadi wazir itu lebih baik dari pada aku menjadi Amir”.
Jika benar Ali Rodhialloohu ‘Anhu mempunyai wasiat tentulah sebaik sahaja para pemberontak mengepung Usman Rodhialloohu ‘Anhu kemdian membunuhnya Ali Rodhialloohu ‘Anhu akan segera menuntut hak beliau dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Khalifah tambahan pula para pemberontak Mesir memang sedia menyatakan mereka mahukan Ali Rodhialloohu ‘Anhu sebagai Khalifah.
Namun, hakikat semuanya adalah Ali Rodhialloohu ‘Anhu tidak memiliki Wasiat tersebut, ia hanyalah wahyu Syaitan kepada Abdullah bin Saba’ untuk menyesatkan manusia.
Kedua: Ali Rodhialloohu ‘Anhu bebas dari pembunuhan Usman Rodhialloohu ‘Anhu dan beliau tidak berkonspirasi dalam perbuatan zalim tersebut. Bahkan Ali Rodhialloohu ‘Anhu membenci kaum pemberontak yang membunuh Usman Rodhialloohu ‘Anhu walaupun mereka itu menyangka mereka adalah orang yang berwala’ kepada ‘Ali Rodhialloohu ‘Anhu.
Ini terpapar jelas melalui sikap Ali Rodhialloohu ‘Anhu yang enggan menerima Bai’ah daripada pemberontak sebaliknya berkeras dan menegaskan bahawa hak Bai’ah adalah milik para Sahabat Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam.
Ketiga: Batilnya sistem Demokrasi.
Ini sebagaimana jelas melalui sikap Ali Rodhialloohu ‘Anhu yang menyatakan hak melantik pemimpin bukan hak sama rata manusia tetapi hak Ahli Majlis Syura yang terdiri daripada pemuka Umat dan Ulama’ mereka yang ketika itu merupakan para Sahabat Rosululloh Shollalloohu ‘alaihi Wasallam –ridwaanulloohi ‘alaihim- yang diketuai Ahli Badar.
Keempat: Kesahihan Khilafah Ali bin Abi Talib Rodhialloohu ‘Anhu dan beliau merupakan Khalifah al-Rasyidin yang keempat dengan sepakat Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Ijmak ini berlaku semenjak zaman Ali Rodhialloohu ‘Anhu lagi kerana setiap Sahabat radiallahu ‘anhum sama ada yang membai’at Ali Rodhialloohu ‘Anhu mahupun yang mengambil sikap berkecuali sewaktu peperangan Jamal dan Siffin ataupun Mu’awiyah Rodhialloohu ‘Anhu yang mengambil sikap enggan membai’at, kesemua mereka ini sepakat dan setuju bahawa Ali Rodhialloohu ‘Anhu adalah yang berhak memengangnya setelah kewafatan Usman Rodhialloohu ‘Anhu.
Kelima: Batilnya dakwaan bahawa Ali Rodhialloohu ‘Anhu dilantik menjadi Khalifah bukan atas keredaan kaum Muslimin atau perlantikan beliau adalah berdasarkan tangan-tangan luar daripada pemberontak. Bahkan jelas menurut riwayat-riwayat yang sahih Para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang memilih beliau dengan Ijmak.
Tekanan hanya berlaku dari segi pemaksaan kaum pemberontak untuk para Sahabat segera membai’at pemimpin dan situasi Bai’at yang berlangsung dalam keadaan Ibu Negara (Madinah) masih tegang dengan pembunuhan Khalifah.
Keenam: Pertelingkahan anatara Sahabat ridwanullahi ‘alaihim bukanlah atas dasar merebut jawatan dan habuan dunia tetapi salah faham dan perbezaan ijtihad dalam keadaan fitnah. Maka wajib atas kita menahan lisan daripada mencela mereka dan mengkritik mereka, bahkan wajib memohon keredaan ALLOH untuk mereka, ridwaanulloohi ‘alaihim ajma’iin.
Walloohul Muwaffiq.
21 Safar 1433 H/ 15 Jan 2012 M
Al-Madinah Al-Nabawiah, Kerajaan Arab Saudi.
Rujukan:
  • ‘Asrul Khilafah al-Rasyidah, Dr. Akram Dhiya’ al-’Umari
  • Tarikh al-Khulafa’ al-Rasyidun, Dr. Muhammad Ibrahim Abal Khail
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabah, Dr. Muhammad Amkhozun.
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabiyain Talhah wa Al-Zubair fil Fitnah al-Kubra, Dr. Khalid Kabir ‘Ilal
  • Sahih wa Da’ief Tarikh al-Tabari, Muhammad Tahir al-Barzanji.
  • Asmal Matolib fi Sirah Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, Dr. Ali al-Salabi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar